Tuesday, 29 October 2013

PEMBANGUNAN MAMPAN

Definisi Pembangunan Mampan
Pembangunan mampan merujuk kepada pembangunan manusia yang menggunakan sumber alam untuk memenuhi keperluan manusia di samping memastikan kemampanan sistem semula jadi dan alam sekitar supaya keperluan ini dapat dipenuhi bukan sahaja pada masa ini malah untuk generasi masa hadapan.

Mengikut Brundtland Report 1987, Pembangunan mampan adalah pembangunan yang dapat memenuhi keperluan permintaan pada masa sekarang tanpa menjejaskan keupayaan dalam memenuhi keperluan untuk generasi pada masa depan.

Kebiasaannya, pembangunan mampan dijalankan adalah dengan mengambil kira keupayaan menampung, pengambilan sumber, pengagihan bahan buangan serta kadar pencemaran yang dihasilkan ke atas bandar dan kawasan sekelilingnya. (White & Whitney, 1992)
Pembangunan bandar yang mampan perlulah mengambil kira elemen-elemen seperti: 
  • keadilan sosial
  • keperluan manusia asas
  • kesihatan awam
  • kesedaran persekitaran dari segi ruang dan masa
Menurut laporan tersebut, definisi di atas mengandungi dua konsep iaitu:
  • Konsep 'keperluan', khususnya keperluan asas golongan miskin di dunia, di mana keutamaan utama harus diberikan.
  • Konsep idea batasan yang dikenakan oleh organisasi kerajaan terhadap teknologi dan sosial bagi keupayaan alam sekitar untuk memenuhi keperluan semasa dan masa depan.
Mengikut David Drakakis-Smith (1995), salah satu cara untuk mencapai tahap pembangunan yang mampan adalah dengan mempunyai ekonomi bandar yang sihat. Justeru itu, aktiviti yang berkaitan dengan ekonomi seperti peluang pekerjaan dan kemiskinan perlu diambil perhatian kerana peranan aktiviti informal serta perdagangan skala kecil menjadi penting. 

Matlamat Pembangunan Mampan
Pembangunan bandar yang mampan perlulah mengambil kira:

Pemuliharaan Sumber

  • Memastikan penawaran sumber semulajadi yang berterusan pada masa sekarang dan pada masa hadapan melalui penggunaan tanah yang efektif, pengurangan penggunaan sumber yang tidak boleh diperbaharui, dan pemuliharaan kepelbagaian sumber semulajadi. Pemuliharaan merangkumi penggantian sumber, perubahan dalam cara penggunaan dan memberi perhatian kepada faktor ‘intangible’ seperti nilai keselesaan dan nilai warisan.

Pembangunan Fizikal
  • Memastikan pembangunan alam bina adalah harmoni dengan alam semulajadi supaya hubungan mereka adalah seimbang dan saling memanfaatkan di antara satu sama lain.
  • Membantu menyedarkan komuniti tentang peluang yang terdapat di kawasan tersebut.
  • Mengurangkan pembaziran sumber dan keburukan yang akan dibawa kepada komuniti apabila sesetengah kawasan perniagaan mengalami tekanan pembangunan yang melampau sedangkan sesetengah kawasan mengalami kemerosotan perniagaan seperti penutupan kedai dan kehilangan pekerjaan.

Kualiti Alam Sekitar
  • Mengelakkan pencemaran alam, melindungi ekosistem dan mengelakkan pembangunan yang akan mengancam kesihatan manusia atau menjejaskan kualiti kehidupan.
  • Mengurangkan atau mengubah proses pengeluaran atau perniagaan yang akan menjejaskan kualiti hidup manusia. Cara pembuangan dan pelupusan sampah harus dititikberatkan.

Kesaksamaan Sosial
  • Mengelakkan pembangunan yang akan menambahkan jurang antara golongan kaya dan miskin serta menggalakkan pembangunan yang dapat mengurangkan ketidaksamaan sosial
  • Mengurangkan pembaziran tenaga manusia. Kesaksamaan sosial perlu dipelihara dari segi peluang ekonomi di sesuatu kawasan.

Penyertaan Politik
  • Menggalakkan penyertaan komuniti dalam membuat keputusan. Supaya menepati keperluan komuniti.

No comments:

Post a Comment